182. Ahmad Nusairi Wildan Syurga Abi dan Ummi :')

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum and Very Good Day

Saat bait-bait ini ditulis hanya Tuhan saja yang maha mengetahui apa yang bermain di hati ini. Hanya Tuhan saja yang tau betapa peritnya jiwa ini. Namun saya sedar setiap yang berlaku ada hikmahnya. Terkadang diri ini terasa berdosa kerana terlalu merintih. Ya Allah bukan itu maksud hamba-Mu yang lemah lagi tak berdaya ini. Hamba-Mu memohon keampunan daripada-Mu.



Sayangku, 
Ummi tau awak bahagia di sana 
Ummi tau awak gembira di sana 
Ummi tau awak adalah penyelamat ummi dan abi 
Ummi tau awak adalah anugerah yang sangat tak ternilai 
Ummi tau awak adalah pinjaman dari PenciptaMu 
Ummi tau awak adalah wildan syurga 


Sayangku Ahmad, 
Ummi sedar awak telah menjadi aset kami di sana 
Ummi sedar awak milik PenciptaMu yang hanya pinjaman dalam hidup kami 
Ummi sedar awak tidak sempat mengenal kami di sini 
Ummi akur awak telah tiada di sisi kami


Wahai Anak Syurga,

Saat dikhabarkan berita kehadiranmu di dalam rahim ummi hanya tuhan saja yang tau betapa gembiranya hati ummi dan abi. Betapa bersyukurnya kami saat denyutan jantungmu kami dengar. Setahun penantian ummi dan abi menunggu berita gembira ini. Biarpun setahun bukanlah jangka masa yang lama bagi sesetengah orang, tetapi ia tetap menjadi persoalan.

Awak membesar semakin hari semakin baik. Biarpun pada saat-saat awal kehadiranmu ummi mengalami alahan serta muntah-muntah yang agak sederhana. Biarpun ummi  tidak selera menjamah semua makanan kegemaran ummi, namun ummi gagahkan diri untuk menelan apa jua bagi memastikan perkembanganmu baik dan sihat.

Sehinggalah pada satu malam 11 April 2015 ummi tak bisa lelap. Terasa perut ummi yang sekejap mengeras dan sekejap ok. Tapi ummi tidak tahu apakah petandanya itu. Adakah sudah tiba masa untuk kita bersua atau hanya false alarm. Ummi mu ini tidak ada pengalaman. Inilah yang pertama wahai putera kesayangan ummi. Ummi abaikan. Sekejap ummi baring dan sekejap ummi duduk. Memang tidak lena tidur ummi. Sehinggalah jam 4.30 pagi ummi mahu ke tandas. Dan saat itu ummi dikejutkan dengan aliran darah yang keluar. Ummi kaget. Ummi mengejut abimu untuk memberitahu adakah sudah tiba masanya untuk kita bertemu muka.

Sayangku Nusairi,

Ummi dan abi mu pergi ke hospital untuk memastikan adakah benar ini tanda awal kelahiran. Setibanya kami di sana ummi disuruh pulang kerana bukaan ummi baru 1 cm. Kami akur kerana mereka lebih arif. Setibanya di rumah memang ummi merasai kesakitan yang berselang-seli. Selera makan ummi juga semakin menurun. Sehinggalah ummi rasa contraction itu semakin kuat ummi ajak abimu ke hospital untuk kesekian kalinya. Dan saat itu ummi dikhabarkan bukaan sudah sampai 5 cm. Saat itu tidak ada apa yang ummi fikirkan hanya ingin melahirkanmu. Perasaan yang bercampur baur gembira kerana bakal bertemu denganmu, berdebar kerana ini pengalaman pertama ummi dan 1001 rasa yang bermain di fikiran.

Ummi dibawa masuk ke labour room pada jam 3.30 petang. Tepat 6.37 petang ummi selamat melahirkanmu sayang. Tangisan yang ummi dengar membuatkan air mata ummi hampir mengalir. Ummi bersyukur kerana selamat melahirkan permata hati ummi dengan selamat. Awak anak yang kuat sayangku. Di saat orang lain menunggu bukaan 1 cm selama 1 jam tetapi awak hanya mengambil masa 30 minit untuk 1 cm. Awak bersama-sama ummi untuk dilahirkan. Ummi tahu awak juga tidak sabar mahu berjumpa kami. Terima kasih Allah, terima kasih sayangku kerana dengan kekuatan awak hanya beberapa jam saja ummi selamat melahirkanmu dengan izin-Nya jua. Selepas awak dibersihkan awak terus mendapat kucupan pertama dari ummi. Hangat terasa tubuhmu. Bau harummu itu cukup mendamaikan dan hilanglah segala sakit yang ummi tanggung sebentar tadi. Kemudian awak dibawa keluar untuk ke nursery.

Wahai cinta hati ummi,

Ummi dikejutkan dengan berita jantung awak tidak dapat mengepam oksigen dengan sebaiknya 3 jam selepas kamu dilahirkan. Doktor mencari abimu untuk berbincang. Saat itu tidak dapat digambarkan perasaan ummi. Tapi tak dapat ummi ekspresikan perasaan ummi. Namun ummi tau sayang kuat di sana. Keadaan ummi yang masih lemah menyebabkan ummi tidak dapat bersamamu. Bukan ummi tidak minta untuk memelukmu namun nurse yang bertugas tidak mengizinkan kerana keadaan ummi yang masih lemah. Hanya abimu sendirian menemanimu. Doktor pula tidak mengizinkanmu berjumpa ummi kerana awak terpaksa memakai mesin untuk membekalkan oksigen. Sehingga hari ini tidak dapat ummi lupakan betapa hangatnya saat ummi memelukmu dan bau harum yang tak dapat ummi bayangkan saat ummi menciummu. Wahai anak syurga, mungkin awak telah khabarkan pada ummi saat itu bahawa awak akan pergi meninggalkan ummi menyahut seruan pencipta-Mu. Tapi ummi masih tidak sedar. Pada hemat ummi, bau harum darimu itu adalah kerana sucinya dirimu yang tanpa noda dan dosa.

Ummi dikhabarkan bahawa awak akan di pindahkan ke hospital serdang. Saat itu walau apapun terjadi ummi tetap mahu berjumpa dengan awak sebelum awak dipindahkan ke hospital serdang. Dan ummi mendapat persetujuan doktor untuk melihat awak sebelum awak dipindahkan. Biar susah, biar lemah tapi keranamu ummi tetap berdegil untuk kuatkan diri ummi. Sesampainya ummi di nursery tempat awak diletakkan ummi memelukmu, mendakapmu penuh erat dan mencium ubun-ubunmu. Subhanallah hangat, damai dan harum sekali baumu. Puas ummi bisikkan selawat di telingamu, berdoa di dalam hati agar kamu selamat dan sihat kembali. Air mata ummi mula mengalir. Sebak di dada tak dapat ummi bendung lagi. Begitu tenang dan damai wajahmu wahai anak. Kamu seolah-olah tidur dengan nyenyak sekali dalam dakapan ummi.

Sayangku Ahmad Nusairi,

Rupanya itulah kali terakhir ummi memelukmu, mendakapmu penuh kasih dan menciummu anak. Allah hanya pinjamkan awak hanya untuk seketika buat abi dan ummimu. Begitu banyak petanda yang telah awak berikan kepada ummi bahawa awak akan pergi buat selamanya tetapi ummi tidak sedar. Bau awak yang sangat wangi yang tak pernah ummi bau sebelum ini merupakan bauan dari syurga. Tepat jam 3.35 pagi awak tidak kuat lagi sayangku. Awak pergi jua setelah abimu membuat keputusan untuk mencabut mesin bantuan pernafasan setelah doktor memberitahu bahawa tidak ada lagi caranya untuk selamatkan awak. Kuasa Tuhan membuktikan Dia yang lebih berkuasa. Awak anak yang baik, anak yang kuat dan sebab itu Allah jua menyayangimu. Biarpun seluas lautan kasih ummi buatmu namun kasih Allah lebih lagi buatmu. Doktor mengesahkan awak pergi buat selamanya keran jangkitan kuman atau sepsis yang tidak tahu dari mana datangnya kuman itu. Allah!

Wahai wildan syurga,

Pergimu membuatkan abi dan ummimu tersentak, bagai tidak percaya, dugaan ini begitu berat buat kami berdua.Tapi ummi yakin Allah itu tidak akan berikan ujian melampaui batas kemampuan hamba-Nya. Pergimu di pagi Isnin, terlalu ramai yang datang menziarahimu, sedangkan kamu hanya bayi kecil yang baru lahir. Namun Allah hantarkan Jemaah yang ramai, kawan dan sahabat yang ramai untuk menziarahi kami. Rezekimu terlalu banyak duhai anak. Tidak putus-putus orang datang. Terima kasih anak. Lahirmu membawa rezeki, menginsafi diri abi dan ummi mu yang lalai dan leka sekaligus mengajar erti kesabaran, ketabahan, kekuatan dan kerinduan. Pergilah duhai anak, ummi redha, ummi ikhlas. Kerana awak anak syurga. Tunggulah kami berdua bersamamu kelak. Ummi dan abi akan berusaha untuk menjadi hamba-Nya yang baik bagi memudahkan pertemuan kita nanti.

Sesungguhnya dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Ummi sayang awak dan rindu awak sehingga ke akhir hayat ummi. Ummi tau awak tenang dan bahagia di sana. Ummi akan cuba kuat. Ummi sayang Ahmad Nusairi bin Nashrul Akmal. :’)

Rumahmu wahai anakku yang masih belum kuat untuk Ummi lewati

Cinta hati ummi dan abi sebelum di mandikan

Ahmad Nusairi bin Nashrul Akmal 

Dalam kenangan
Nukilan rasa ummi buatmu
Namun begitu banyak yang tidak dapat ummi zahirkan
Sehingga kita bertemu lagi Ahmad Nusairi
Doakan Abi dan Ummi mu sayang agar terus kuat dalam mengharungi hidup ini tanpamu di sisi.

12 April 2015, 6.37 petang – 13 April 2015, 3.30 pagi
Ahmad Nusairi Bin Nashrul Akmal dalam ingatan.
Al -Fatihah
 Ma'assalamah wa ilal liqa' :')

Comments

Anonymous said…
Salam puan....kita bkongsi cerita yg sama.....saya juga kehilangan wildan syurga selepas bsama hanya 2 hari slps dilahirkan....
Unknown said…
Ya Allah beratnya ujian...
Wildan Syurga juga pergi pada 4/11/2015
Ingin bersama kongsi kekuatan n smgt..ummi wildan ke ♡ Wildan Syurga♥ 0194575925. Syukran
Little Caliph said…
@Nujaimi Abdul hamid bertabahlah hati. It's almost 11 bulan berlalu tetapi rasa rindu tidak pernah hilang :')
Little Caliph said…
@Mursyida Sofiya banyakkan bersabar sis. kalau sis rasa nak berkongsi boleh perasaan boleh join group bidadari wildan syurga (BWS) di fb. :)
Unknown said…
salam..saya pun baru kehilangan wildan syurga..genap usia 2bulan..pergi buat selama lamanya...02/11/2016-02/01/2017..al fatihah...

Most Favor

109. Isu KFC

119. Khalidu Bil Quran

163. Panduan Temuduga DPLI-SR j-QAF Ambilan 2013

115. Pig and Its Derivatives