91. Percubaan Pertama
Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum and Very Good Day Readers..!
Ahlan..!
Percubaan pertama tajuk post aku kali ini. Percubaan apa ye? Shortly la kan, bersempena dengan kelapangan masa aku buat masa sekarang ni di tambah pula dengan minat aku dalam dunia penulisan aku nak kongsi percubaan penulisan pertama aku.
Haha.. aku terasa skema plak ayat kat atas. Aku sekadar menulis suka-suka sambil mengisi masa terluang. Aku tak tau nak letak tajuk cerita aku ni apa. Apa pun aku sekadar suka-suka je ok. Sebarang jalan cerita atau watak-watak yang aku pilih tak ada kena mengena dengan sesiapa pun mahupun hidup atau pun dah meninggal dunia. Kalau ada kebetulan itu mungkin secara tidak sengaja. - Pesanan penulis. Hehehe.
Peeps..!
Sebarang komen dan kritikan silalah utarakan. Aku nak tau juga pendapat dan pandangan readers semua. Aku post cerita ni maybe untuk part 1 dulu kot. Sebab aku pun tak abis mengarang lagi. Masih terfikir ending dia. Hehe. Apa pun selamat membaca. (:
Hanya Kerana Janji.. (mungkin tajuk cerita aku ni kot. masih difikirkan).
Antara kita tiada rahsia,
Susah dan senang kita bersama,
Terpateri namamu kau takkan ku lupa.
Begitulah bait-bait nasyid yang pernah dinyanyikan suatu masa dahulu. Kenangan semasa berada di alam persekolahan sangat bermakna buat dirinya. Tarbiyyah Islamiyyah yang di laluinya semasa sesi persekolahan sedikit sebanyak dapat di jadikan bekalan dan panduan dalam menempuhi alam universiti. Dia terlalu rindukan suasana Islam, biah solehah dan persekitaran yang begitu mendamaikan. Apakah bisa semuanya itu terulang kembali. Ah..! Kenangan memang indah untuk dikenang.
Rindunya kepada kalimah-kalimah mutiara yang lahir dari bibir sang Murabbi yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah dalam menyampaikan ilmu-ilmu yang tiada ada daya untuknya membalas. Mendidik anak bangsa supaya suatu masa nanti dunia ini mampu melahirkan generasi-generasi Islam yang hebat sahsiah dan akhlaknya.
Dia juga merindui sahabat-sahabatnya yang sama-sama berjuang di alam persekolahan suatu masa dahulu. Terlalu banyak yang ditempuhi di alam remaja dan menjadikan dia matang dalam menempuh hidup-hidup yang mendatang. Insya-Allah.
“Din, apa yang kau fikir tu. Aku tengok jauh betul kau termenung. Kau ada masalah?” soal Asyraf kepada Miftahudin.
“Kau ni Acap, buat terkejut aku je. Bagilah salam ke apa ke. Ini tak main sergah je. Nasib baik Allah bagi peluang aku hidup lagi ni. Kalau aku mati terkejut tadi macam mana. Amalan aku ni belum cukup tau,” omel Miftahudin.
“Haha.. kau bab merepek nombor satu la kan. Jangan merepek sangat boleh tak. Itu tandanya kau memang betul-betul berangan kan. Sampai aku bagi salam lebih 3 kali kau tak sedar. Kalau ikut adab-adab berziarah dah kena balik dah aku sebab 3 kali bagi salam tapi tak ada orang jawab,” balas Asyraf.
Miftahudin tersenyum. Kepalanya digeleng. Acap, Acap. “Ok, aku minta maaf sebab tak sedar kau bagi salam tadi. Maaf ok. Sebenarnya aku tadi teringat kenangan masa kita belajar dekat SMAPK dulu. Nostalgia kan,” jelas Miftahudin.
“Wow, kau kenapa? Rindu SMAPK ye. Itulah kau aku ajak pergi lawat cikgu-cikgu SMAPK tak nak. Macam-macam kau bagi alasan. Sekarang sibuk nak ingat-ingat. Apa daa,” balas Asyraf.
“ Wah sedap ye mulut kalau nak mengata aku. Bila masa kau ajak? Kau kalau pergi SMAPK time aku sibuk betul. Bila aku free kau pula sibuk. Suka hati je nak cakap aku. Kau ni dari mana?” soal Miftahudin.
“Haha.. nasibla kan. The point is bila aku ajak kau selalu bagi alasan. So aku pergi jelah sorang-sorang. Ok la nanti kita cari masa yang sesuai kita pergi sama-sama. Boleh? Hrm.. aku baru balik dari usrah tadi. Cari kau merata tempat. Alik-alik kat tasik ni juga kau melepak.”
“Din.. Do you have any problems? Setau aku kalau kau duduk kat sini sebab kau tertekan dan ada sesuatu yang kau fikirkan. If you don’t mind, cerita la kat aku,” soal Asyraf penuh hati-hati.
Bimbang akan sekeping hati seorang sahabat itu terluka. Dia sedar, sejak dua menjak ni Miftahudin mudah benar terasa. Dari seorang yang periang, suka buat lawak dan mudah tersenyum dia bertukar menjadi seorang yang pendiam. Bercakap apabila perlu dan menjadi seorang yang sensitif. Dia perasan akan perubahan sahabat seperjuangannya itu.
“Ok la. Ada ruang dan peluang nanti boleh la aku join kau pergi SMAPK. Oh kau dari usrah. Kau bawa tajuk apa tadi?” soal Miftahudin kembali tanpa menjawab pertanyaan sang sahabat.
“Ikhtilat. Ada adik usrah aku minta aku kongsi pasal ni tadi. Din, kau ngelat kan. Tak nak jawab soalan aku kan. Jangan nak ubah topik ok!” tegas Asyraf.
Miftahudin, seorang sahabat yang sangat dihormati dan amat dia sayangi. Dia kenal sangat dengan perangai sahabatnya itu. Rela simpan sendiri demi tidak mahu menyusahkan hati orang-orang di sekelilingnya. Sudah lama dia mengenali sahabatnya itu. Dari tingkatan 1 dia bersahabat dengan Miftahudin. Tetapi dia mula rapat ketika mereka sama-sama menuntut Persijilan Tahfiz DQ-UIAM di Darul Quran lebih kurang 3 tahun yang lalu. Selepas tamat peperiksaan SPM dia dan Miftahudin meneruskan pencarian ilmu di bumi DQ yang penuh kedamaian. Bersama bermujahadah menghafal ayat-ayat Allah. Alhamdulillah, setelah setahun setengah bermujahadah mereka berjaya menghafal 30 juzu Al-Quran dan sekarang mereka melanjutkan pelajaran di UIAM dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik.
Tersenyum Miftahudin. Tau macam mana dia elak Asyraf akan terus mendesak. Asyraf begitulah dia. Selagi tidak menjawab soalan selagi itu dia bertanya. Tidak jemu kah dia. Tapi Miftahudin mengerti. Bertanya sebab ambil berat. Bukan nak sibuk. Teringat satu hadis:
Tidak sempurna iman seseorang selagi mana dia tidak mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.
Oleh sebab rasa cinta kepada seorang sahabatlah Asyraf tidak pernah jemu bertanyakan khabar dan masalah sahabat-sahabatnya. Bukan hanya dia tetapi kepada sahabat yang lain juga. Satu sikap yang sangat dikagumi Miftahudin.
“Aku suka betul sikap kau ni Acap. Memang tak pernah putus asa eh. Kalau aku tak jawab selagi itulah kau akan desak kan. Tak penat ke?” senda Miftahudin mengurangkan keresahan di jiwanya.
Asyraf tersenyum. Lega. Sekurang-kurangnya mahu juga Miftahudin bergurau biarpun agak pincang dan kaku. Biarlah. Asalkan hati itu masih mampu tersenyum walaupun tidak seperti dulu. Hati sahabat itu terlalu banyak luka dan parut. Itu dia sedar. Tetapi dia kagum dengan semangat dan ketabahan seorang Miftahudin dalam menempuh hidup yang di atur oleh Pencipta. Bahagian yang dia terima, dia tempuh jua walau terkadang ada pincang dan songsang. Asyraf sangat respect dan kagum.
“Putus asa bukan sifat orang Mu’min. Kau tau itu kan? So tak ada istilah penat dalam hidup aku. Insya-Allah. Kau fikir apa? Ceritalah pada aku. Sekurang-kurangnya kau tak adalah sedih sorang-sorang,” pujuk Asyraf.
“Terima kasih. Ingatkan aku. Putus asa bukan sifat orang Mu’min.! Ya, tepat sekali,” tutur Miftahudin.
Di lontarkan pandangannya jauh ke tasik. Tasik itulah yang sangat suka dikunjungi ketika hatinya resah dan gelisah. Mencari sedikit ketenteraman jiwa dengan menghidangkan matanya dengan ketenangan tasik yang berada di dalam kampusnya itu. Biarpun tidak seindah tasik di DQ tetapi masih dapat mengurangkan resah di hati. Melihat ciptaan Tuhan dapat muhasabah sekeping hati. Itulah yang dia cuba buat saat itu.
“Mak aku.. err.. mak cik.. mak.. apa aku nak panggil ye Acap. Haih.. susah betul aku nak cerita. Buat serabut kau je kan. Aku tak nak susahkan kau la Acap. Aku hargai perhatian kau tapi… ,” nada itu terhenti.
“Ngade betul kau ni. Cerita je la. Macam lah aku tak tau masalah kau sebelum ni. Takkan dengan aku pun kau nak berahsia. Panggil la apa yang kau rasa selesa. Mak pun tak pe mak cik pun boleh. Jangan nenek dah la ye. Tak sesuai,” seloroh Asyraf.
“Haha.. nenek. Keji la kau. Ala aku.. tah lah. Aku tak taulah nak mula macam mana,” balas Miftahudin.
“Kau tau A B C, huruf awal dia A. Alif Ba Ta, mulanya Alif. Kalau karangan BM kau boleh mula dengan Pada suatu hari, kalau BI kau guna Once upon a time, BA kau try start dengan Fil usbui' madhi…. Kalau baca Quran kau start la dengan A’uzubillahiminasyaitonirrajim……”
“Haha.. okay okay. Sudah. Cukup-cukuplah kau merepek Acap. Aku pukul kau karang. Mengada-ngada betul,” pecah tawa keduanya.
“Padan muka kau. Macam lah aku ni hakim fasohah ke apa sampai tak tau nak mula macam mana. Aku tak tanya soalan susah macam dalam MOM pun, bukan juga macam soalan Calculus. Kena guna berkajang-kajang kertas. Itu pun belum tentu jawapan kau betul,” tambah Asyraf lagi.
“Kau ni.. memang la kan. Aku ketuk kau gak. Dah tak jadi aku nak touching ni,” ucap Miftahudin.
“Hehe.. tau aku macam mana kan. Lagi nak elak-elak. Okay serius sikit boleh tak. Kenapa dengan mak kau?” soal Asyraf.
“Hmm.. Semalam Abang Hilmi mesej. Merayu-rayu minta aku pergi melawat mak aku. Abang Hilmi cakap mak aku rindu nak jumpa aku. Mak aku kat hospital sekarang. Aku pun tak pasti mak aku sakit apa sampai masuk hospital,” sesak dadanya saat melafazkan patah perkataan.
“Acap, kejamkah aku? Berdosakah aku? Adakah aku seorang anak yang tak mengenang budi? Aku tak tau nak buat apa. Fikiran aku benar-benar buntu, aku tertekan. Antara janji dan belas kasihan. Demi Allah Asyraf, kalau bukan kerana janji sekarang juga aku pergi ziarah mak aku. Tapi…. entahlah. Kusut sangat fikiran aku.” sebak suara Miftahudin.
Serasa mahu dia lari dari semua ini. Tetapi ke mana. Dia tau hendak tak hendak dia perlu hadapinya. Cuma dia tak tau bagaimana lagi caranya. Janji yang pernah di lafazkan satu ketika dahulu membuatkan dia ditelan mati emak, di luah mati bapa. Sentiasa dia memohon petunjuk dari Pencipta. Mohon di tunjukkan jalan mana lagi harus dia lalui. Bagaimana cara untuk dia hadapi. Dia mengeluh sendirian.
Asyraf memandang sahabatnya dengan penuh simpati. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Dipeluk erat bahu sahabatnya itu. Sekadar mahu mengurangkan rasa beban yang sarat ditanggung Miftahudin. Berkongsi kekuatan bersama serta meringankan rasa hati sahabat yang dia kasihi itu.
Dia mengerti janji yang disebut Miftahudin. Dia jua tahu apa janji itu. Di saat genting begini, Miftahudin masih lagi teguh berpegang kepada janji. Betapa dia kagum dengan sahabatnya itu. Janji apabila telah dilafazkan, wajib ia ditunaikan. Begitulah Miftahudin. Dia seorang yang kuat berpegang kepada janji. Asyraf ingat firman Allah di dalam surah Al-Maidah ayat 1.
Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman tepatilah janji-janji.” (al-Maidah:1)
Diperhalusi dengan hadis-hadis yang pernah dipelajarinya suatu ketika dahulu.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim, iaitu; Bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkiri, dan bila menerima amanat ia khianat.”
Sabdanya yang lain:
“Empat perkara yang jika seseorang manusia ada di dalamnya, maka ia menjadi munafik, dan barangsiapa mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu, samalah seperti ia mempunyai sifat kemunafikan, sehingga ia menjauhinya lagi: Jika berbicara ia dusta, jika berjanji ia mungkiri, jika membuat pengakuan ia belot dan jika menuntut ia curang.”
Jadi dia sangat mengerti situasi yang di alami Miftahudin. Janji Miftahudin dengan seorang yang pernah bergelar ayah kepadanya suatu masa dahulu mengikat dia supaya tidak dapat dia penuhi permintaan Abang Hilmi. Biarpun Asyraf tahu jauh di sudut hati Miftahudin, dia mahu melawat dan menziarahi seorang yang telah dianggap ibunya selama bertahun-tahun tetapi apakan daya. Hanya kerana janji Miftahudin terpakasa memendam hasrat yang telah lama di simpan jauh di dasar hatinya.
“Sabar lah Din. Jangan macam ni. Aku faham perasaan kau. Aku juga faham situasi kau. Kita cari jalan sama-sama. Setiap masalah itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Kuatkan semangat kau. Banyakkan istighfar. Ingat Allah. Setiap ujian dan dugaan yang Dia bagi pada kita tanda Dia sangat menyayangi dan mengasihi kita. Dia ingin menguji sejauh mana iman kau, kepercayaan kau pada qada dan qadar, keikhlasan hati kau menerima cubaan ini serta rasa kebergantungan kau pada-Nya. Ingat tu. Jangan mengeluh macam ni. Tak baik Din.” tutur Asyraf cuba menenangkan sahabatnya.
“Aku tau, bercakap memang mudah Din. Tapi jujur aku cakap kalau kau sedih aku turut rasa sedih. Kalau kau sakit aku juga rasa sakit sebab aku sayangkan kau. Kau sahabat aku, kau saudara aku. Cubit paha kiri, paha kanan pun terasa sakitnya.” sambung Asyraf lagi.
“Astaghfirullah.. aku khilaf Acap. Aku lupa. Ya Allah ampunkanlah hamba-Mu ini. Terima kasih Acap. Kau kawan aku, sahabat aku dunia akhirat.” Miftahudin akur.
Dia sedar akan kesilapannya. Dia tau dia tidak sepatutnya mengeluh sedemikian rupa. Dia juga manusia biasa. Kadangkala dia juga cepat melatah. Tetapi mujur dia punyai seorang sahabat yang sentiasa mengingatkan dia. Dia bersyukur, sekurang-kurangnya Allah hantarkan dia seorang sahabat yang sentiasa berada di sisi tika waktu susah dan senang. Sahabat..
“Sahabat yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati”
Masya-Allah, indah sungguh sebuah persahabatan atas keimanan. Di pandang wajah sahabatnya itu. Terasa ringan beban yang dia tanggung. Sungguh dia rasa senang dan sedikit lega apabila meluahkan perasaannya kepada Asyraf. Itulah indahnya kebersamaan. Beban yang berat akan terasa ringan. Subhanallah.
“Din, apa kata kita pergi jumpa Ustaz Mukhlis. Kita tanya pendapat dia tentang masalah kau ni. Nak tak?” usul Asyraf.
Miftahudin tersenyum. Ustaz Mukhlis. Sebaris nama yang sinonim dengan hidupnya. Ya kenapa dia boleh lupa akan hal itu. Ustaz Mukhlis merupakan guru Tasmi’ di DQ satu masa dahulu. Hubungannya dengan Ustaz Mukhlis sangat rapat persis abang dan adik. Keperibadian Ustaz Mukhlis sangat dikagumi Miftahudin. Bersama dengannya terasa tenang dan damai. Ustaz Mukhlis merupakan Murabbinya yang sangat dia kasihi. Sudah banyak dia berkongsi masalah dengan Ustaz Mukhlis.
Asyraf jua turut tersenyum apabila melihat segaris senyuman di bibir temannya itu. Ya senyuman itu. Senyuman yang sudah lama tidak terlihat pada riak sahabatnya. Senyuman seikhlas hati. Hatinya lega.
“Din, dah lama aku tak tengok kau senyum macam ni. Dua tiga hari ni aku tengok kau sensitif betul. Din dengar ni, aku nak bermadah untuk kau.
Ukirlah senyuman yang paling manis, kerana selain sedekah, senyuman itu ibarat lukisan rahsia hati dan senyuman itu tidak menyakitkan tetapi menjadi penawar hati yang sakit.
Amacam, boleh jadi macam A. Samad Said tak?” sakat Asyraf.
“Haha.. Acap, Acap. Kau ni ada-ada je la. A. Samad Said konon. Sudah la kau.” Jawab Miftahudin senang.
“Jeles ke wei. Aku suka lah madah pujangga ni kau tau tak. Orang tua dulu-dulu setiap kata-kata tu tersirat 1001 maksud dia kau tau. Halus tapi mendalam. Kau apa tau? Asyik-asyik mengadap tasik layan blues, pastu emo dengan aku,” giat Asyraf. Niatnya hanya mahu menceriakan suasana yang tegang sebentar tadi.
“Wah, sedapnya bahasa kau. Perli aku je kerja kau. Bila aku emo dengan kau? Kau je yang perasan lebih. Aku menghayati keindahan ciptaan Allah lah. Mana ada aku layan blues. Cakap suka madah pujangga tapi sound aku direct memanjang. Sah-sahlah kau ni fail. So tak payah kau nak berangan jadi A. Samad Said. Rosak bahasa kau tau.” balas Miftahudin.
Dia tau Asyraf hanya bergurau dengannya. Dia sedikit pun tak ambil hati dengan gurauan temannya itu. Malah dia terasa tenang dan damai. Lupa buat seketika masalah yang dihadapinya itu.
“Din, kalau pendapat aku la kan, apa kata kau jumpa ayah kau tu. Kau minta kebenaran dia untuk pergi melawat mak kau. Tapi, aku nak tanya kau satu hal. Kau jangan marah aku ye,” kata Asyraf berhati-hati. Bimbang sahabatnya terasa hati.
“Erk.. apa kau kata. Jumpa ayah aku? Aku… aku tak beranilah Acap. Tapi, kalau keadaan memaksa aku boleh cuba. Kau nak tanya apa. Tanya je la. Aku tak marah la,” jawab Miftahudin mendatar.
Mata kedua-dua sahabat itu terarah ke arah tasik yang begitu tenang. Cuaca yang redup jua bagai mengerti perasaan keduanya yang begitu inginkan kedamaian dan ketenangan.
“Din, kau benar-benar dah bersedia untuk berdepan dengan semua orang yang pernah menjadi ahli keluarga kau satu masa dahulu? Kau ikhlas? Boleh kau maafkan segalanya? Kau yakin dengan diri kau?” soal Asyraf ingin tahu hati sahabatnya.
Miftahudin terdiam. Hatinya yang sedikit tenang tadinya kembali bergetar.
‘Bersediakah aku? Cukup kuatkah aku untuk berdepan dengan mereka semua. Ya Allah, kau pinjamkanlah aku sedikit kekuatan untuk aku hadapi semua ini.’ monolognya sendirian.
“Din, kenapa kau diam? Kau marah aku?” Asyraf bersuara. Dia jua bimbang.
Miftahudin masih seperti tadi. Diam. Matanya masih terarah ke arah tasik. Hatinya berperang sendirian.
Selama 19 tahun dia ditipu. Dia pernah merasai sebuah kehilangan, dia pernah dibuang oleh mereka satu ketika dahulu. Dia pernah merasai kepedihan ketika melafazkan sebuah janji. Janji yang menjarakkan hubungannya dengan mereka yang pernah menjadi keluarganya dahulu. Setelah dia mahu bangkit untuk kesekian kalinya, dia terpaksa berdepan dengan sebuah kehilangan lagi. Kehilangan kedua telah mengubah hidupnya kini. Dan saat dia mula menerima takdir yang tersurat, kenapa mereka kembali muncul menagih perhatian dan kasih sayangnya lagi. Ya Allah apakah hikmah di sebalik semua ini? Aku masih tidak mengerti. Terasa sebak di dadanya.
“Din, aku minta maaf kalau soalan aku tadi buat kau rasa sedih. Maafkan aku ye,” tutur Asyraf lagi.
“It’s ok Acap. Aku tak marah kau pun. Kau tak salah apa-apa pun dengan aku. Soalan kau tu buat aku terfikir. Apakah aku benar-benar bersedia untuk berdepan dengan semua orang yang pernah aku tidakkan kehadiran mereka satu masa dahulu,” tutur Miftahudin.
“Acap, aku tak tau jawapan macam mana untuk aku jawab soalan kau. Sebab aku juga tak pasti dengan hati aku. Acap, kalau kesakitan aku boleh sembuhkan kesakitan ramai orang, apa salahnya kalau aku pertaruhkan diri aku sekali lagi. Kan?” Miftahudin memandang Asyraf.
Saat dan ketika itu, dia benar-benar perlukan semangat dari sahabatnya. Biarlah dia terluka tetapi dapat membahagiakan ramai pihak. Dia tidak kisah. Dia tidak boleh pentingkan dirinya sendiri.
Asyraf memandang sahabatnya penuh rasa kagum dan simpati. Kagum dengan semangat dan pendirian sahabatnya, simpati kerana apa yang bakal Miftahudin tempuhi bukan sekadar mempertaruhkan dirinya tetapi sekeping hati yang baru sahaja sembuh dari luka. Hati yang baru bangkit dari satu kehilangan. Serasanya jika dia di tempat Miftahudin belum tentu dia mampu untuk tempuhinya. Sungguh Allah itu Maha Mengetahui.
“Din, aku sendiri dah tak tau nak cakap macam mana lagi. Apa yang boleh aku katakan aku benar-benar kagum dengan kau. Di saat hati kau yang baru sembuh dari kelukaan itu, kau masih mampu dan mahu pertaruhkan ia lagi sekali. Sedangkan kau tak tau macam mana keadaanya nanti. Mungkin kau akan terluka untuk kesekian kalinya dan mungkin juga sebaliknya,”
“Tapi aku percaya Din, Allah itu Maha Adil. Dia mengetahui apa yang ada dalam hati setiap hamba-Nya. Aku yakin, setiap pengorbanan hamba-Nya ada dalam hitungan-Nya. Kalau kau tak dapat di dunia, Insya-Allah bahagialah kau di akhirat.”
“Din, apa yang penting kau kena ikhlas. Ikhlaskan niat kau. Aku akan sentiasa berada di sisi kau Din. Aku akan sentiasa sokong kau walau dalam apa jua keadaan dan apa jua keputusan yang kau ambil.” sekali lagi diraih bahu sahabatnya itu sekadar meminjamkan kekuatan kepada Miftahudin. Mahu merasa sama beban yang ditanggung sahabat tercinta.
“Ingat Din, firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang maksudnya:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya…..”
“Kau kuat ye. Aku yakin kau mampu berdepan dengan semua ni. Aku sentiasa ada untuk kau. Allah juga sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar.” Asyraf mahu sahabatnya itu kuat dan tidak rapuh.
Dia bimbang juga takut-takut sahabatnya tersungkur untuk kedua kalinya. Rasanya cukuplah sekali dia tengok di saat sahabatnya itu benar-benar dalam kejatuhan. Bertahun dia dan Abang Mukmin berusaha membina semangat Miftahudin satu ketika dahulu. Saat dia dipisahkan dari mereka yang pernah dianggap keluarga. Dia sudah tidak sanggup melihat kejatuhan sahabatnya untuk kesekian kalinya.
“Terima kasih sahabat. Aku tak tau macam mana aku mampu balas segala jasa baik kau selama ni Acap. Saat aku jatuh tersungkur, kau sambut tangan aku untuk aku kembali berdiri. Setiap saat kau tak pernah jemu mengingatkan aku benda yang sama berulang-ulang kali atas kekerasan hati aku yang sukar menerima nasihat. Terima kasih Acap. Terima kasih kerana menjadi sahabat aku.”
“Acap, doakan aku ye. Doakan aku kuat untuk tempuhinya sekali lagi. Pengalaman lepas betul-betul mematangkan hidup aku. Insya-Allah, aku akan cuba untuk tidak tersungkur seperti dulu lagi biarpun aku gagal kali ini. Doakan aku Acap.” Kali ini Miftahudin kalah. Air matanya mengalir ketika mengucap kata-kata itu. Dia benar-benar sebak. Kepalanya dilentokkan ke bahu sahabatnya itu. Mencari satu kekuatan daripada insan yang bergelar sahabat.
“Sama-sama. Insya-Allah. Aku sentiasa doakan kau dan sahabat-sahabat kita yang lain. Lega hati aku bila kau cakap macam tu. Jujur aku cakap, aku tak sanggup nak tengok kau jatuh lagi. Cukuplah apa yang kau tanggung selama 2 tahun yang lepas.”
“Din, kau juga banyak bantu aku. Terima kasih juga sebab menjadi sahabat aku. Hanya Allah jualah yang dapat membalasnya. Hari ni hari kau, mana tau esok lusa hari aku pula. Hidup ini kan umpama roda. Sekejap kita di atas dan ada ketikanya kita di bawah.”
“So, bila kau nak pergi jumpa Ustaz Mukhlis? Boleh aku temankan.” Soal Asyraf ingin tahu.
“Erm.. hujung minggu ni mungkin. Kau free tak? Usrah kau macam mana?” giliran Miftahudin pula bertanya.
“Weekend ni ye. Aku rasa aku free. Usrah apa kebendanya. Bukan ke aku cakap tadi aku baru balik dari usrah? Lupa ke. Seminggu sekali je la usrah aku. Tak tau la kalau usrah kau banyak kali.” Tutur Asyraf.
“Hehe.. sorry la kawan, lupa lah. Perli aku nampak. Kau ni betullah. Aku punya usrah pun sekali je la seminggu.” Sengih Miftahudin. Akur kesilapannya.
“Weh dah lah. Jom lah kita balik. Dah petang sangat ni. Nanti tercari-cari pula roommate kita lagi dua orang tu.” Usul Miftahudin.
“Ha.. sedar pun kau hari dah petang. Ada orang tercari-cari. Aku ingat kau tak sedar. Dah puas ke tengok ciptaan Allah ni. Jangan nanti balik bilik terkenang tasik ni. Aku tak dapat la nak tolong kau.” Usik Asyraf.
“Haha.. kurang asam kau. Perli aku tak habis-habis. Dah lah jomlah.” Miftahudin bingkas bangun.
“Eh kalau kurang asam aku ada beli air asam boi tadi. Ada kat bilik. Kau nak? Haha.. aku tak perli. Kau terasa buat apa.” Asyraf turut bangun untuk kembali ke bilik mereka.
Miftahudin hanya tersengih sambil menggeleng kepalanya. Mereka kembali berjalan pulang ke bilik memandangkan hari sudah senja. Miftahudin berharap agar akan ada sinar untuknya esok. Semoga dia mampu bersabar dengan segala ujian yang Allah berikan. Hatinya sedikit lapang. Biarpun masalah itu masih belum selesai tetapi sekurang-kurangnya dia masih ada jalan yang boleh di usahakan.
to be continue...
Readers..!
Sampai di sini dulu penulisan aku untuk kali ini. Akan aku usahakan sambungannya. Insya-Allah. Ini percubaan pertama aku saja. Sekadar mengisi masa lapang. Once again I emphasized, segala jalan cerita, nama dan watak hanya rekaan semata-mata. Tidak ada kena mengena dengan orang yang hidup atau pun yang sudah meninggal. :D
Thanks for reading..
Take care.. (^.^)
Ma'assalamah wa ilal liqa'.. :)
Comments